Lesen memandu di Malaysia Lesen_memandu

Jenis

Terdapat lima jenis utama lesen memandu di Malaysia iaitu:-

  • Lesen Memandu Pelajar (LDL) - diperolehi pelajar sekolah memandu. Lesen ini hanya membenarkan pemegang lesen mengendalikan kereta yang memaparkan plat L yang dimiliki oleh sekolah memandu di bawah pengawasan guru sekolah memandu. Bagi pemegang lesen pelajar motosikal, mereka dibenarkan menunggang motosikal tanpa pembonceng. Lesen boleh diperbaharui setiap 3 atau 6 bulan dengan tempoh maksimum 2 tahun. Selepas tempoh tamat 2 tahun, pemegang lesen perlu mengulangi semula prosedur pelajaran memandu dari mula.[3]
  • Lesen Memandu Percubaan (PDL) - diperolehi pemandu baru yang lulus kesemua prosedur pelajaran dan ujian memandu. Pemandu baru tertakluk kepada sistem mata demerit 10 mata KEJARA, di mana mata ditolak mengikut jenis kesalahan trafik. Lesen akan dibatalkan sekiranya pemegang lesen percubaan mengumpul 10 mata demerit.[4] Pemandu percubaan wajib melekatkan plat lesen percubaan (ditandakan dengan huruf P besar berwarna putih di dalam latar belakang merah berbentuk segiempat sama) pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan. Lesen percubaan akan dinaiktaraf kepada lesen kompeten penuh selepas 2 tahun, dan tempoh selang selama setahun diberikan untuk menaiktaraf lesen sebelum pemegang lesen perlu mengulangi semula kesemua prosedur pelajaran memandu.[5]
  • Lesen Memandu Kompeten (CDL) - Lesen memandu penuh yang dinaiktaraf daripada lesen percubaan selepas 2 tahun. Pemegang lesen CDL tertakluk kepada sistem mata demerit 15 mata KEJARA sebelum lesen mereta digantung atau dibatalkan. Lesen memandu boleh diperbaharui setiap 1, 2, 3 atau 5 tahun. Tempoh selang selama tiga tahun diberikan untuk memperbaharui lesen sebelum pemegang lesen perlu mengulangi semula kesemua prosedur pelajaran memandu.[5]
  • Lesen Memandu Vokasional (VDL) atau Lesen Memandu Komersial - Lesen memandu khas untuk pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori, dikeluarkan bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
  • Permit Memandu Antarabangsa (IDP) - Lesen memandu antarabangsa untuk membolehkan pemandu Malaysia memandu di luar negara.

Kelas

Terdapat beberapa kelas yang tertera di bahagian belakang lesen memandu iaitu:-

  • A - Kenderaan Orang Cacat (Motosikal) BTM tidak melebihi 450kg
  • A1 - Kenderaan Orang Cacat (Motokar) BTM tidak melebihi 3500 kg
  • B - Motosikal melebihi 500 sp
  • B1 - Motosikal tidak melebihi 500 sp
  • B2 - Motosikal tidak melebihi 250 sp
  • C - Motosikal Tiga Roda
  • D - Motokar BTM tidak melebihi 3500 kg
  • DA - Motokar Tanpa Pedal Klac BTM tidak melebihi 3500 kg
  • E - Motokar Berat BTM melebihi 7500 kg
  • E1 - Motokar Berat BTM tidak melebihi 7500 kg
  • E2 - Motokar Berat BTM tidak melebihi 5000 kg
  • F - Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Beroda) BTM tidak melebihi 5000 kg
  • G - Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Berantai) BTM tidak melebihi 5000 kg
  • H - Traktor/Jentera Bergerak Berat (Beroda) BTM melebihi 5000 kg
  • I - Traktor/Jentera Bergerak Berat (Berantai) BTM melebihi 5000 kg

Kelas A1 dan DA baru diperkenalkan, manakala kelas A dan DA baru dipinda[6].